Tahukah saudara semenjak Nabi Adam terkeluar dari syurga akibat tipu daya iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah swt.
Beliau sujud di atas gunung selama seratus tahun. Kemudian menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dari air mata Nabi Adamitu Allah tumbuhkan pohon kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau.
Burung itu berkata, "Sedap sungguh air ini."Nabi Adam terdengar kata-kata burung tersebut. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah. Ini membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis.
Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, "Hai Adam, sesungguhnya aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dan hebat dari air mata taubatmu itu."
Pasti Ada Yang Meragui Cerita Diatas.. Jom Kita Kaji Mengenai Kisah Tersebut...
Saya ada menerima e mail yang menerangkan tentang airmata Nabi Adam `alaihis salam. Ramai orang yang percaya kepada cerita-cerita seperti ini kerana ianya disebut dalam buku-buku agama. Mungkin orang ini membaca dari kitab yang dibeli dikedai buku agama. Pengarang buku itu pula mungkin mengambilnya dari kitab lain, antaranya dari kitab
Kuning ( kitab jawi klasik).
Setelah menerima mesej begitu maka saya pun mula membuka kitab-kitab jawi koleksi saya dan akhirnya saya menemuinya dalam sebuah kitab kuning yang berjudul “ Jam`ul Fawaaid”, muka surat 255 , cetakan matba`ah Bin Halabi, Patani, Thailand.
Dibawah ini saya salinkan untuk anda semua :
“ Maka pertama orang yang menangis daripada makhluq Adam `alaihis salaam tatkala turun daripada syurga kepada bumi maka menangis tiga ratus tahun dan tiada mengakatkan kepadanya kepada langit kemudian daripada yang demikian itu malu daripada ALLAH Ta`ala dan sujud ia satu sujud diatas bukit Hindi seratus tahun menangis ia hingga keluar matanya pada bukit serindib maka ditambahkan ALLAH pada demikian bukit itu daripada air mata Dardhi dan Qoronful dan jadilah burung demikian bukit dan meminum sekali burung pada satu hari akan air matanya Adam `alaihis salaam dan berkata ia meminum akan air laut dan air didarat dan air hujan dan tiada kami meminum akan minuman yang terlebih manis daripada air ini maka menyangka Adam bahawasanya segala burang mempersenda-senda akan dia maka sembah Adam hai TUHAN ku telah kau kerasi atasku segala burung mampersenda- sendakan daku sebab aku mengena maksiat akan dikau maka mewahyu Adam bahawasanya tiada aku jadikan minumannya yang terlabih lazat daripada air mata orang yang berdosa “.
Maksudnya setelah saya edit :
Orang yang pertama menangis dari kalangan makhluq ialah Nabi Adam `alaihis salaam ketika turun dari syurga ke bumi. Nabi Adam `alaihis salam menangis selama 300 tahun dan setelah itu dia tidak pernah mendongak kepalanya ke langit kerana malu kepada ALLAH Ta`ala. Nabi Adam `alaihis salam juga bersujud dengan satu kali sujud diatas bukit Hindi selama 100 tahun. Air mata Nabi Adam `alaihis salam membasahi bukit Serindib sehingga ALLAH jadikan dari air matanya itu Dardhi dan Qoronful (bunga cengkih) dan burung di bukit itu menjadi Towawis ( burung merak ).
Pada suatu hari semua burung meminum air mata Nabi Adam `alaihis salaam lalu berkata :
“ Kami sudah minum air laut, air di daratan dan air hujan tetapi kami belum pernah merasai air yang terlebih manis daripada air ini . Apabila Nabi Adam `alaihis salam mendengar percakapan burung-burung itu maka dia menyangka bahawa burung-burung itu mempersenda-sendakannya ( memperlinya) lalu dia mengadu kepada ALLAH, ujarnya : “ Wahai TUHAN ku ! Engkau telah menjadikan semua burung mampersenda-sendakan daku kerana aku telah melakukan maksiat kepada MU (dengan memakan buah yang dilarang). ALLAH mewahyukan kepada Nabi Adam dengan firman NYA : “ AKU tidak jadikan minuman yang terlebih lazat daripada air mata orang yang berdosa..
Adapun kalimah “Dardhi “ , saya tak pasti apakah maksudnya . namun begitu saya rasa sejenis rempah juga seperti bunga cengkih.
Pengarang kitab ini , iaitu Al marhum Shwikh Daud Al fatani tidak menyatakan dari mana cerita berkaitan dengan berkaitan air mata Nabi Adam `alaihis salam ini .
Sewaktu saya belajar di sekolah pondok dahulu pada tahun-tahun 70an , saya memang mempercayai cerita-cerita pelik seperti ini (banyak lagi cerita pelik yang saya tidak nyatakan disini). Oleh itu maka tidak hairanlah ramai guru-guru agama yang menerima pendidikan di pondok menceritakan cerita-cerita pelik seperti ini dan akibatnya ramailah juga orang yang mempercayainya kerana diceritakan oleh guru-guru agama. Mustahil mereka menipu atau mereka-rekakan cerita atau ianya hanyalah dongeng.
Memang guru-guru agama ini tidak menipu kerana mereka bercerita bersumberkan kitab ini atau kitab-kitab yang seumpamanya seperti kitab “ Qasosul Anbia` “.
Namun begitu yang silapnya mereka tidak menyatakan bahawa “ Tersebut dalam kitab sekian sekian cerita berkaitan denagn air mata Nabi Adam “.
Apabila mereka tidak menerangkan begini maka ramai juga orang yang menganggap bahawa cerita itu cerita yang benar bersumber dari hadith Nabi.
Mereka tidak menyatakan seperti ini kerana 2 sebab:
Mungkin mereka juga percaya bulat-bulat kerana mereka menyangka semua yang tercatit dalam kitab adalah benar lebih-lebih lagi ianya dikarang oleh `alim besar.Oleh itu mereka mesti menyampaikannya kepada orang ramai.sebab itu tidak mustahil kalau ada antara mereka yang berkata : Kalau tak percaya kepada kitab hukumnya kafir. Kata-kata seperti ini adalah salah kerana perkataan ‘ kitab ‘ yang disebut itu bukan merujuk kepada al Quran tetapi merujuk kepada kitab yang ditulis oleh ulama.
Mungkin mereka tidak tahu bagaimana nak merujuk kepada hadith-hadith sahih atau dhaif kerana mereka tidak mendalaminya atau mereka hanya pandai membaca kitab jawi sahaja dan tidak lancar membaca kitab yang berbahasa `Arab sedanglkan ilmu yang berkaitan dengan hadith tak banyak ditulis dalam bahasa melayu.
Untuk pengetahuan semua, banyak cerita-cerita yang pelik sebenarnya diambil dari riwayat ‘Israiiliyyat” iaitu diambil dari kitab Taurat (Old Testament).Untuk keterangan lanjut sila lihat tajuk khusus berkenaannya dibawah.
Pengarang kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab agama memasukkan cerita-cerita ini didalam kitab tafsir mereka. Oleh itu sekiranya kita baca kitab-kitab tafsir yang memuatkan cerita-cerita pelik ini maka ada diantara kita yang menyangka cerita-cerita ini sebahagian dari tafsir al Quran.
Kerana itu , sekiranya kita membaca kitab tafsir maka hendaklah kita teliti , sebagai contoh dalam kitab tafsir Al Baidhawi . Kitab Tafsir al Baidhawi ini sangat popular di kalangan pelajar sekolah pondok di Malaysia dan pesantren di Indonesia . kitab ini berasal dari bahasa Arab dan telah diterjemahkan oleh al marhum Sheikh Abdul Rauf bin Ali al Fansuri al Singkili atau Sheikh Abdurrauf kuala, salah seorang ulama besar Acheh. Tidak diketahui tarikh lahirnya tetapi kitab ini dicetak buat pertama kali di Istanbul (Turki) pada tahun 1302 H (1884 M). Kitab yang ada ditangan saya ialah dicetak di percetakan Sulaiman Mar`ii tahun 1951 dan saya mempelajarinya sewaktu menuntut dipondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan ( sila lihat laman webhttp://
Sheikh Abdul Rauf ini merupakan seorang tokoh agama, ahli tasawuf, negarawan dan karyawan. Beliau dilahirkan di Singkel, utara Fansur (Pantai Barat Sumatera). Mengenai tarikh kelahiran beliau tersebut, terdapat beberapa riwayat yang berbeza. Ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1001H/1592M, ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada 1024H/1615M, dan ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1029H/1620M. Bagaimanapun, tiada percanggahan tentang tarikh wafatnya iaitu beliau meninggal dunia pada tahun 1106H/1695M di Kuala Sungai Aceh (Mahayuddin 1986: 44).
Sebagai penulis tafsir paling awal di Nusantara, karya beliau tersebar ke seluruh wilayah Melayu-Indonesia.
Didalam kitab tafsir al Baidhawi ini disebut cerita tentang 2 Malaikat “ Harut dan Marut “. Namun begitu pengarang kitab Tafsir ini menyebut : “ kata pengarang tafsir ath Tha`labi bahawa Malaikat Harut dan Marut …….. “
Apa yang kita faham dari kata pengarangnya : “ diceritakan “ . Ini bermakna bukannya diambil dari hadith Nabi tetapi dari sumber lain.
Namun begitu ramai guru agama apabila menafsirkan ayat –ayat ini (kisah ini disebut dalam suratul Bqaqarah ayat 101) , terus sahaja menceritakan tentang 2 malaikat ini dan mereka tidak menyatakan : “ diceritakan bahawa …… “ atau “ mengikut ceritanya bahawa ….. “ .
Oleh kerana mereka tidak menyebut seperti ini maka pendengar ceramah akan menyangka itu adalah cerita yang benar sedangkan cerita itu adalah dari kisah “ Israaiiliyyah “.
PENGARUH ISRAIILIYYAT KE ATAS KITAB TAFSIR
Kemasukan Israiliyyat ke dalam tafsir bermula dengan kemasukan thaqafah (peradaban) Bani Israil (yang berhijrah ke Semenanjung `Arab) ke dalam thaqafah Arabiyyah di zaman Jahiliyyah. Bangsa Yahudi ini membawa bersama-sama mereka ilmu-ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka, dan segala perkara yang berkaitan dengannya daripada huraian-huraian, dan juga yang mereka warisi daripada satu generasi ke satu generasi daripada nabi-nabi mereka dan pendita-pendita mereka. Mereka mempunyai tempat yang dinamakan al-midras iaitu sekolah-sekolah tempat mereka mempelajari setiap perkara yang diwarisi. Mereka juga mempunyai tempat-tempat ibadah dan syiar agama mereka.
Kemudian, datang ajaran Islam dan kitab ALLAH yang terkandung di dalamnya ilmu dan agama. Seruan Islam lahir dan tersebar di kalangan penduduk Semenanjung Arab. Pada zaman Rasulullah Sallallaahu`alaihi wasallam pusat negara Islam adalah al Madinatul Munawwarah. Untuk mendidik para sahabat, majlis-majlis ilmu pada zaman Rasulullah Sallallaahu`alaihi wasallam ini dilakukan di Masjid Madinah. Di kota Madinah dan di sekitarnya tinggal bermuqim beberapa golongan Yahudi seperti Bani Qainuqa’,Bani Quraizah, Bani Nadhir, Yahudi Khaibar, Taima’dan Fadak.
Terdapat di kalangan ulama Yahudi atau ahli Kitab di Madinah yang memeluk Islam seperti Abdullah bin Salam Radhiallaahu `anhu. Beliau dan orang sepertinya menjadi tempat rujukan sahabat untuk bertanya secara terperinci tentang kisah-kisah yang sama yang juga disebut di dalam al Quran dan Taurat. Namun begitu
para sahabat Radhiallaahu `anhum tidak menerima bulat-bulat apa yang diceritakan kepada mereka. Malah mereka menapisnya dengan akal dan juga syara`. Mereka hanya menerima apa yang diterima oleh akal dan syara` dan menolak sekiranya bercanggah dengan keduanya. Seterusnya mereka berdiam diri terhadap perkara-perkara yang tidakjelas tentang benar dan salahnya.
Ibnu Khaldun (1968, 1: 786-787) menyatakan apabila timbul keinginan di kalangan orang-orang Arab untuk mengetahui tentang permulaan kejadian makhluq dan rahsia kejadian, mereka cenderung bertanya ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Majoriti mereka adalah dari suku bangsa Humair.Apabila mereka memeluk Islam, pengaruh daripada ajaran agama mereka yang berkaitan dengan asal kejadian makhluq, cerita-cerita tentang peperangan dan sebagainya masih kuat dalam diri mereka. Antara golongan mereka ialah Ka’abul Akhbar, Wahab bin Munabbih, dan Abdullah bin Salam. Radhiallaahu `anhum. Kerana inilah cerita-cerita Israiiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir dipenuhi dengan riwayat-riwayat daripada mereka.
Banyak lagi cerita-cerita lain yang dimuatkan dalam kitab-kitab tafsir yang saya tidak sentuh disini seperti cerita Nabi Ayyub sakit sehingga tinggal lidah dan hati, Nabi Daud yang merampas isteri orang, cerita ular yang menolong Iblis masuk ke syurga untuk menipu Nabi Adam dan Hawwa`, kisah Talut dan Jalut (al Baqarah 2: 248), Kisah Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis, Kisah Nabi Syu’aib dan Nabi Musa dan lain-lain lagi.
Cukuplah sekadar beberapa contoh yang saya paparkan disini sekadar peringatan kepada kita sesama umat Islam. Saya harap penerangan ini bermanfaat kepada diri saya dan anda semua. WALLAAHU `AA`LAM
Sumber : http://
Jika Ada Yang Masih Ragu.. Diminta Ke Link Web Diatas Untuk Bertanya Lebih Lanjut.. Artikel Ini Dipost Di Wall Pages Ini Untuk Dikongsi Bersama. Pendapat Dan Teguran Anda Amat Dialu-alukan...
Sumber - http://www.facebook.com/photo.php?fbid=183690525045919&set=a.181352438613061.45721.181349265280045&type=1&theater
No comments:
Post a Comment