4 Jenis Kafir

🌿 Tazkirah Rabu 🌿

Apakah Semua Orang Bukan Islam Sebagai Kafir Harbi?

DALAM kehidupan masyarakat kita hari ini sering kita mendengar perkataan kafir harbi. Terutama di dalam media sosial kerap kali pihak yang tidak disukai dituduh sebagai Kafir Harbi, bersyubhat dengan Kafir Harbi atau menjadi talibarut Kafir Harbi.

Adakah benar semua orang bukan Islam di Malaysia atau parti yang di kuasai oleh bukan Islam sebagai kafir harbi? Atau sikap perkauman melampau ( extremis) ini lahir daripada dendam kesumat kerana gagal dalam memenangi pilihanraya?

Cukup mudah tuduhan- tuduhan seperti ini dilakukan keatas  sesuatu parti atau organisasi yang tidak sealiran dengan tuduhan Kafir Harbi sedangkan dalam Islam takrif Kafir Harbi cukup jelas.

Untuk menjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap jenis- jenis kafir.

Kafir terbahagi kepada empat jenis;

1. Kafir Zimmi

2. Kafir Mu’ahad

3. Kafir Musta’man.

4.Kafir Harbi

Huraiannya.

1. Kafir Zimmi:

Iaitu orang kafir yang meminta perlindungan dari negara-negara Islam untuk melindungi mereka dengan syarat mereka perlu membayar wang perlindungan. Al-dzim bermaksud perlindungan.

Apabila dia meminta perlindungan daripada orang Islam, dia tetap kafir. Orang Islam memberi perlindungan kepadanya dengan syarat yang perlu ditunaikan seperti membayar cukai, ufti dan seumpamanya.

Seperti mana kerajaan Islam di bawah pemerintahan Khalifah Umar memberi perlindungan kepada kerajaan Spanyol dahulu. Mereka perlu membayar kepada kerajaan Islam setiap tahun sebanyak 10 ribu dinar emas. Maka dengan itu umat Islam haram menyakiti atau mengambil hak-hak orang kafir zimmi.

Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam hadis,

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا فِيْ كُنْهِهِ – أَيْ فِيْ عَهْدِهِ وَأَمَانِهِ- فَلَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ

“Siapa yang membunuh orang kafir yang ada perjanjian dalam kunhi-nya (dalam penjanjian dan jaminan keamanan padanya), maka dia tidak akan mencium bau syurga.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

2. Kafir Mu’ahad

Iaitu orang kafir yang ada perjanjian dengan orang Islam, seperti mana orang kafir yang ada di dalam negara kita.

Islam melarang membunuh, menghina, menganggu dan merampas hak- hak mereka sama seperti Kafir Zimmi

Mereka ada perjanjian dengan kita. Mereka merupakan rakyat dalam negara ini.

Selama mana mereka mematuhi perundangan dan perjanjian dalam negara ini maka mereka adalah Kafir Mu’ahad.

Jadi umat Islam dilarang menyakiti mereka, umat Islam dilarang mengambil harta dan hak mereka, hukumnya haram kerana mereka adalah orang kafir yang telah mengikat perjanjian dengan kita.

Tidak boleh kita sakiti mereka atau melanggar penjanjian yang dibuat dengan mereka.

Di Malaysia telah ada kontrak sosial dan mereka yang telah menjadi warga Malaysia telah bersetuju untuk taat setia kepada YDPA dan Majlis Raja- raja, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak keistimewaan orang melayu dan bumiputra dan hak kewarganegaraan.

Orang bukan Islam dan parti- parti politik bukan Islam mereka tidak menolak kontrak sosial , mereka membayar cukai dan bersama- sama menghorrmati perlembagaan persekutuan maka mereka bukan Kafir Harbi tetapi mereka adalah Kafir Mu'ahad.

Berdosa memfitnah dan menghina Kafir Mu'ahad kerana Islam menjaga maruah dan hak- hak mereka sama seperti Kafir Zimmi.

Jika ada individu orang bukan Islam menghina Islam maka individu tersebut didakwa dengan akta hasutan 1948 bukan borong semua parti tertentu sebagai Kafir Harbi.

3. Kafir Musta’man.

Iaitu orang kafir pelarian, contohnya yang datang dari Bosnia, Pakistan, Syria, Palestin, Rohigya dan sebagainya.

Sekiranya dia adalah pelarian, masuk ke negara kita dan meminta perlindungan dari kita dan kita pun memberikan perlindungan kepada mereka. Seperti mana disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran,

وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لا يَعْلَمُونَ

“Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.”

(Surah At-Taubah ayat 6)

Haram bagi umat Islam menyakiti Kafir Musta’man, kita beri mereka masuk dan kita berikan perlindungan kepada mereka.

4. Kafir Harbi.

Iaitu kafir yang kita perangi mereka (dengan mengikut ketentuan Syarak). Mengapa kita memerangi mereka adalah kerana mereka melanggar perjanjian yang termeterai antara mereka dengan kaum Muslimin, seperti Yahudi di Madinah.

Contoh Kafir Harbi adalah Zionis Yahudi membunuh rakyat Palestin,  Bashar Assad membunuh umat Islam Syria, Tentera Mynmar membunuh penduduk Rohingya dan tentera  yang membunuh umat Islam Uyghur. Jika umat Islam dinegara tersebut menentang tentera Kafir Harbi maka mereka mati syahid.

Oleh itu umat Islam tidak boleh bertindak ikut imosi dan nafsu dengan membuat fitnah dan tuduhan tanpa berasaskan agama dan akhlak Islam. Islam haramkan buat fitnah bukan hanya sesama Islam sahaja tetapi diharamkan juga buat fitnah kepada bukan Islam terdiri daripada Kafir Zimmi, Mu'ahad dan Musta'man .

Islam suruh berlaku adil dalam di dalam apa saja komen dan pandangan walaupun kepada musuh kita. Jangan ada- adakan perkara yang tidak wujud semata- mata kerana kebencian kita kepada sesuatu kaum kerana adil itu lebih hampir kepada takwa. Tunjukkan akhlak Islam kepada orang bukan Islam supaya mereka suka dan minat kepada ajaran Islam bukan setiap hari menghina mereka menyebabkan mereka menjauhkan diri daripada Islam

Makmum Sundari
13.2.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

No comments:

Post a Comment