Cara menyintai Rasulullah SAW


Tanda kita cinta kepada Rasulullah SAW adalah kita mengikut perintah baginda dan ikut sunnahnya dan meninggalkan larangannya.. Tanda kita kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW hendaklah kita banyak berselawat kepada baginda, kita amalkan semua sunah yang dihayati baginda SAW di dalam kehidupan setiap hari.

Tanda kita beriman dan cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan kita melaksanakan amalan-amalan sunah yang dilakukan oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Segala perbuatan, percakapan dan diamnya Nabi SAW adalah merupakan wahyu daripada Allah SWT melalui perbuatan atau lisan baginda kerana baginda tidak akan melakukan sesuatu menurut hawa nafsunya.

Terdapat tujuh amalan sunah yang sentiasa dilakukan oleh baginda setiap masa,

Tujuh amalan sunah Nabi SAW adalah seperti berikut :

Pertama : Solat Tahajjud.

Kedua : Membaca al-Quran

Ketiga : Solat fardu berjemaah di masjid.

Keempat : Solat duha.

Kelima : Bersedekah  setiap hari.

Keenam : Sentiasa berwuduk.

Ketujuh : Beristighfar setiap hari.

Huraiannya :

Pertama : Solat Tahajjud.

Solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh seorang mukmin dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW adalah solat tahajjud. Kekuatan solat tahajjud adalah dapat membina hubungan hati dengan Allah SWT terutama dibulan Ramadan.

“Tahajjud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajjud dikerjakan dua rekaat.

Firman Allah SWT maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.  (Surah al-Israa’ ayat 79)

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”  ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Kedua : Membaca al-Quran

Oleh itu, amat digalakkan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran. Membaca al-Quran termasuk antara amalan-amalan terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT  di mana pahalanya lebih berlipat-ganda lagi.

Sabda Rasulullah SAW :

مَاْ تَقَرَّبَ الْعِبَاْدِ إِلَى اللهِ تعالى بـِمِثْلِ مَا خَرَجَ مِنْهُ يَعْنِيْ الْقُرْآنَ

Maksudnya : “Tidak (ada cara terbaik) hamba-hamba mendekatkan (diri mereka) dengan Allah seumpama apa yang keluar dariNya (yakni yang datang dari Allah) iaitulah al-Quran”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, at-Thabrani dari Abu Umamah r.a.)

Selain membaca secara bersendirian, digalakkan juga kita membaca secara berkumpulan atau bertadarus. Dalam hadis Bukhari, Ibnu ‘Abbas menceritakan; “Pada setiap malam di bulan Ramadan malaikat Jibri datang kepada Rasulullah SAW. untuk bertadarus al-Quran dengan baginda”.

Mengenai fadhilat bertadarus, ia dijelaskan oleh Rasulullah SAW  dalam satu hadis baginda;

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِيْ بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ يَتْلُوْنَ كِتَاْبِ اللهِ وَ يَتَدَاْرَسُوْنَهُ فِيْمَاْ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِيْنَةُ وَ غَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَ حَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَ ذَكَرَهُمُ اللهُ فِيْمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya : “Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka (yakni bertadarus), maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ketiga : Solat fardu berjemaah di masjid.

Solat berjemaah di masjid adalah 27 kali lebih baik daripada solat dirumah seorang diri.

Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat fardu berjemaah di masjid. Bila musafir sekalipun baginda akan tetapi mengerjakan solat berjemaah di dalam perjalanan.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :“Solat seorang lelaki beserta dengan seorang lelaki lain lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat seorang diri dan solat seorang lelaki beserta dua orang lelaki lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat dengan seorang lelaki sahaja. Manakala jemaah yang lebih ramai maka jemaah itu adalah lebih dikasihi Allah.”

Nabi SAW mewasiati umatnya supaya tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid.

Sabda Rasulullah SAW. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Keempat : Solat Duha.

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat duha."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan puasa tiga hari setiap bulan, solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Kelima : Bersedekah  setiap hari. 

Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah SAW : "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya?
Nabi menjawab, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keenam : Sentiasa berwuduk.

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW  bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :
"Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya."
(Hadis Riwayat Muslim )

Hadis ini berbicara tentang fadilat wuduk dan maqam orang yang berwuduk, serta bagaimana wuduk itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia disisi Allah SWT.

Ketujuh : Bertaubat dan beristighfar setiap hari.

Bertaubat dan beristighfarlah setiap hari kerana Nabi SAW beristighfar 100 kali sehari. Sesiapa yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dia akan bersih daripada dosa-dosa.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"(Hadis Riwayat Muslim).

Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."  (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Credit : Ustaz Makmum Sundari Fb

No comments:

Post a Comment