Hukum menggunakan mesin cuci baju


Menggunakan Mesin Basuh Layan Diri Bercampur Dengan Baju Non Muslim Bersih Dan Suci Selagi Tidak Nampak Najis Mughalazah Di Baju Atau Mesin Basuh Tersebut.

Hukum asal sesuatu adalah suci. Ia kekal suci selagi mana tiada bukti menunjukkan ia bernajis. Maka begitu jugalah mesin basuh ini, ia kekal suci kecuali terdapat bukti jelas menunjukkan ia tidak suci.

Andaian-andaian non-Muslim sentuh anjing, babi, berak tak basuh, kesan darah haidh dan sebagainya adalah andaian-andaian semata-mata. Ia tidak mengubah status atau kedudukan sesuatu iaitu ia suci. Andaian dan syak wasangka tidak boleh mengubah status asal sesuatu benda iaitu suci.

"Kaedah feqh menyatakan: Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak."

Disebabkan sikap suka berlebih-lebihan beginilah nanti timbul isu: Boleh ke salam dengan non Muslim sebab boleh jadi mereka pegang anjing, babi. Nanti timbul pula duit yang di terima daripada non-muslim tak boleh ambil kerana mereka makan daging khinzir. Nanti jangan sampai ada mualaf tidak benarkan ibu bapa yang non Muslim cium pipi mereka atas alasan sebab mak ayah makan khinzir, minum arak dan sebagainya.

Adakah ini cara Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW?

Sikap memberat-beratkan sehingga begini adalah sikap melampaui batas yang bercanggah dengan ajaran Islam.

فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَىْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ ‏"‏‏.‏

Daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu, daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, baginda bersabda maksudnya : "Sesungguhnya agama ini mudah. Tidaklah sama sekali seseorang memberat-beratkan urusan agama melainkan ia akan menewaskannya. Lakukan dengan cara yang betul, lakukan semampu mungkin, dan bergembiralah. Mohonlah pertolongan pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no: 39].

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَهَا ثَلاَثًا ‏.‏

Daripada Abdullah bin Mas’ud radiallahu 'anhu, Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Binasalah orang yang melampau. Baginda menyebutnya 3 kali. [Sahih Muslim, Kitab al-Ilm, no: 2670].

Wallahua'lam.


Credit : Ustaz Abu Basyer Fb

No comments:

Post a Comment