Amalan Rasulullah SAW Sebelum Tidur

Rasulullah SAW tidak meninggalkan amalan-amalan berikut ini sebelum baginda tidur di waktu malam.

1. Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu.

Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Membaca doa sebelum tidur.

Rasulullah SA membaca doa “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk :

Ini berdasarkan perkhabaran dari Jabir r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari (didalam kitabnya al-Adab al-Mufrad), at-Tirmizi, an-Nasai (didalam kitabnya ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), ad-Darimi, al-Hakim, Ibnu as-Sunni:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) لاَ يَنَامُ حَتىَّ يَقْرَأَ ( الم تنزيل ) وَ( تبارك الذي بيده الملك

Maksudnya: "Adalah Rasulullah SAW tidak tidur sehingga ia membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk."

Dalam riwayat an-Nasai dan Ibnu as-Sunni terdapat tambahan “setiap malam”:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) لاَ يَنَامُ كُلَّ لَيْلَةٍ حَتىَّ يَقْرَأَ ……………..

Maksudnya: "Adalah Rasulullah SAW tidak tidur setiap malam sehingga ia membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk."

4. Membaca Dua Ayat Terakhir Surah al-Baqarah (Ayat 285 dan 286)

Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu Majah, ad-Darimi, Ibnu Hibban:

الآيَتَانِ مِنْ آخِرِ سُوْرَةِ الْبَقَرَةِ مَنْ قَرَأَ بِهِمَا فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: "Dua ayat dari akhir Surah al-Baqarah, barangsiapa yang membacanya pada waktu malam nescaya mencukupi baginya."

Keterangan: Maksud “mencukupi baginya” ialah terpelihara dari sebarang keburukan dan kejahatan pada sepanjang malam tersebut.

5. Solat Witir.

Berkata Abu Hurairah RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

أَوْصَانِي خَلِيْلِي (ص) بِثَلاَثٍ: بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَياَّمٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَي الضُّحَى وَأَنْ أُوْتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya: "Kekasihku (Nabi Muhammad SAW) telah berwasiat kepadaku dengan tiga perkara:

1) Berpuasa tiga hari pada setiap bulan (tanggal 13, 14 dan 15)

2) Mengerjakan dua rakaat Solat Dhuha.

3) Bahawa aku mengerjakan Solat Witir sebelum tidur.

Mengerjakan Solat Witir sebelum tidur adalah “pengikat” sebagaimana diistilahkan oleh Nabi Muhammad SAW didalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad:

الَّذِي لاَ يَنَامُ حَتىَّ يُوْتِرَ حَازِمٌ

Maksudnya: "Orang yang tidak tidur sehingga mengerjakan Solat Witir terlebih dahulu adalah pengikat."

Keterangan: Maksud “pengikat” didalam hadis tersebut ialah pengikat antara seseorang dengan solat malam. Dengan erti kata lain sekiranya ia tidak terbangun untuk solat malam pada malam tersebut maka Solat Witir yang telah dikerjakan sebelum tidur itu menjadikannya dicatat sebagai orang yang telah mendirikan malam. Dengan itu tidak luput daripadanya solat malam pada malam tersebut.

Walaupun begitu bagi sesiapa yang terasa kuat dan mampu bangun diakhir malam maka mengerjakan Solat Witir ketika itu adalah lebih afdhal/utama. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadis riwayat Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُوْمَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوْتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُوْمَ آخِرَهُ فَلْيُوْتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُوْدَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksudnya: Barangsiapa yang takut tidak dapat bangun pada akhir malam maka berwitirlah diawal malam (sebelum tidur), dan barangsiapa yang ingin bangun pada akhir malam maka berwitirlah diakhir malam kerana sesungguhnya solat diakhir malam disaksikan (oleh malaikat), dan itu lebih afdhal.

6. Kemudian mendatangi tempat tidur. Membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas

Melalui perkhabaran Aishah r.a yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu Majah.

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ (ص) كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيْهِمَا فَقَرَأَ فِيْهِمَا (قل هو الله أحد) وَ (قل أعوذ برب الفلق) وَ (قل أعوذ برب الناس) ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk tidur setiap malam Baginda menghimpun dua tapak tangannya kemudian menghembus pada kedua-duanya, maka dibaca pada kedua-dua tapak tangan tersebut Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Kemudian Baginda menyapu dengan kedua-dua tapak tangan tersebut apa yang dapat disapu dari badannya bermula dari atas kepala, muka dan depan dari badannya. Baginda melakukan demikian tiga kali (yakni hembus pada dua tapak tangan, baca tiga surah tersebut dan sapu pada badan).

7. Membaca Ayat al-Kursi (al-Baqarah: 255)

Berdasarkan kisah Abu Hurairah r.a yang dibenarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dimana syaitan mengajarnya keutamaan Ayat al-Kursi yang dibaca sebelum tidur:

إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ اْلكُرْسِيِّ , لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنَ اللهِ حَافِظٌ , وَلاَ يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ, فَقَالَ النَّبِيُّ (ص): صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوْبٌ , ذَاكَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: "Apabila kamu masuk tidur maka bacalah Ayat al-Kursi, akan sentiasa bersama kamu pemeliharaan dari Allah dan syaitan tidak akan menghampiri kamu hingga ke subuh. Maka bersabda Nabi Muhammad SAW: Apa yang ia beritahu kamu adalah benar dan dia adalah pembohong, itu adalah syaitan."

Credit : Ustaz Makmum Sundari Fb

No comments:

Post a Comment