Tuduhan Kafir, Merancang Keluarga, Melambatkan Solat, Berdoa Dan Cara Angkat Tangan Dan Anak Bukan Islam Mati Semasa Kecil

Soalan Pertama :  Apakah hukum seseorang membuat tuduhan kafir kepada saudara Islam yang lain?

Jawapan : 

Hadis Rasulullah SAW yang terdapat dalam Sahih Bukhari no 5752 yang bererti : "Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya "

Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadis dari Huzaifah bin Yaman di mana Rasulullah SAW bersabda yang bererti :

"Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh Allah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi Allah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan.

(Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).

Dalam sahih Bukhari pada hadith nombor 2227 disebutkan bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bererti : "Barangsiapa yang melaknat seorang Mukmin maka itu seperti membunuhnya dan barangsiapa yang menuduh seorang Mukmin dengan kekafiran maka itu seperti membunuhnya.".

Soalan Kedua  : Bolehkah saya buat family planing agar tak dapat anak sebab2 tertentu..adakah tak melanggar hukum islam?

Jawapan :

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 1981 menetapkan bahawa kontrasepsi untuk mengurangkan bilangan anak adalah haram kecuali atas sebab-sebab yang mengharuskannya dan perlulah dilakukan dengan cara tidak kekal atau tidak memandulkan.

Sebab-sebab yang mengharuskannya disini merujuk kepada Keadaan dimana seorang isteri itu terlalu lemah atau sakit, pasangan ada penyakit keturunan, isteri mengandung terlalu kerap atau masih menyusu bayi dan kandungan menyebabkan gangguan mental terhadap ibu.

Merancang keluarga yang bersifat sementara, dan seseorang yang mengamalkan perancangan keluarga atas sebab menghidap kanser yang memerlukan rawatan, hamil berisiko, kahwin ketika usia terlalu muda atau usia lewat atau memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat serta menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga adalah harus.

Walau pun hukum nya harus, kita perlu ambil tahu :

1. Kaedah perancang keluarga apa yang sesuai dengan kita ( Tanya pendapat doktor bukan sekadar mendengar cadangan kawan, ahli keluarga sahaja.)

2. Tempoh penggunaan yang disyorkan.

3. Cara pengambilan atau penggunaan yang sebetulnya.

4. Kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku.

5. Peratusan kejayaan vs kegagalan setiap kaedah perancang keluarga yang dipilih

6. Bagi yang mengambil kaedah perancang keluarga menggunakan kaedah pil , penting bagi anda tahu yang pil pencegah kehamilan adalah pil yang dimasukkan dalam ketegori "UBAT YANG TERKAWAL", means pil-pil ini tidak boleh dibeli tanpa preskripsi dari doktor.

Walau pun doktor memberi jaminan yang kaedah merancang keluarga itu selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan . Sebagai pengguna kita perlu prihatin kelainan pada tubuh badan dan kesihatan kita selepas pengambilan satu2 kaedah tersebut. Ini kerana lain orang lain penerimaan badan terhadap satu-satu kaedah itu, ada yang okey, dan ada juga yang mengalami ketidak serasian dan kesan sampingan yang teruk.

Soalan Ketiga : Ustaz, saya ingin bertanya. Apakah hukum nya jika sengaja melambatkan solat? Kadang2 solat subuh pun qada je sebab dah terlajak. Mohon penjelasan Ustaz. Terima Kasih.

Jawapan : 

Jika sengaja melambatkan solat di hujung waktu (masih ada waktu solat) hukumnya makruh tetapi melambatkan solat sehingga habis waktu hukumnya haram. Ancaman Allah neraka wail bagi mereka yang melalaikan solat sehingga habis waktu solat. Sila baca tafsir surah al-Maun ayat 4-7

Jika bagun tidur terlewat (bukan di sengajakan) tidak berdosa tetapi yang berdosa adalah di lakukan dengan sengaja. Sudah terjaga waktu subuh tetapi sambung balik tidur sehingga habis waktu subuh. Jika saudara tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka saudara hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam).

Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya. Demikianlah, Wallahua’lam.

Soalan Keempat  : Bagaimanakah adab-adab berdoa dan cara mengangkat tangan ketika berdoa?

Jawapan :

Doa adalah senjata orang mukmin, seseorang yang tidak mahu berdoa sebenarnya dia sombong kepada Allah SWT. Terdapat beberapa cara-cara berdoa yang berkesan ketika berdoa kepada Allah SWT. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar .

Firman Allah SWT maksudnya : “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Tidak bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya.

Firman Allah maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya yang bermaksud : “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).

Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Apabila kita berdoa kaedah atau cara menadah tangan dan berdoa dengan betul ;

1. Angkat tangan ke paras dada.

2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan mengenai satu sama lain.

3. Apabila tapak tangan dirapatkan, urat atau garisan di tapak tangan akan bertemu dan menjadi melengkung berbentuk seperti huruf ‘ba’.

4. Titik bagi huruf ‘ba’ tu letakkan di hati. Kedudukan titik itu lebih rendah dari tangan yang kita tadah.

5. Duduklah dalam keadaan yang penuh sopan. Cara duduk yang terbaik ialah duduk iftirash (duduk seperti duduk antara 2 sujud) atau duduk seperti dalam tahiyyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul. Jangan bersandar seperti orang malas!

6. Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah dan menyebut nama-nama Allah yang lain, bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya, jika berdoa mohon dipermurahkan rezeki, sebutlah nama Allah (ar-Rozzaq).

7. Doa diakhiri dengan puji-pujian pada Allah dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

8. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dari hati kita. Gunalah bahasa yang mudah difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus dari hambaNya. Walau dalam bahasa apa kita cakap, Allah pasti faham. Namun, kalau dapat berdoa dengan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi SAW (dalam bahasa Arab), itulah yang terbaik.

9. Ajarkanlah adab berdoa ini kepada seluruh ahli keluarga anda sejak dari usia kecil. InsyaAllah ini akan dapat membentuk peribadi baik anak-anak menjadi menjalani kehidupan.

Sebaik-baiknya selepas solat hendaklah berzikir dan berdoa kepada Allah SWT bukannya terus bangun tanpa berdoa. Sebagai seorang hamba yang lemah dan dhaif perlu kita berdoa dan mohon keselamatan dan kebahagiaan daripada Allah SWT.

Soalan Kelima : Ustaz bagaimana pula bagi bayi, dan kanak-kanak yang bukan Islam, adakah dia masuk syurga?

Jawapan :

Anak orang bukan Islam yang mati sebelum baligh. Terdapat 5 pandangan ulama:

Pandangan Pertama : Anak-anak bukan Islam akan masuk ke dalam syurga.

Sebahagian ulama dari kumpulan ini berpandangan, di awalnya mereka akan berada di al-A’raf, dan kesudahannya mereka yang berada di al-A’raf semuanya akan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah pandangan kebanyakan ulama seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid (18/96)

Antara dalil mereka:

i. Hadis Samurah r.a.: “Bahawa Rasulullah SAW melihat (ketika malam Mi’raj) bersama dengan Nabi Ibrahim a.s. anak-anak orang islam dan musyrikin.” (HR al-Bukhari)

ii. Daripada Hasnaa’ Binti Mu’awiyah dari Bani Shuraim yang berkata: “Menceritakan kepadaku bapa saudaraku, katanya: Daku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah yang akan berada di dalam syurga?” Nabi SAW menjawab: “Nabi di dalam syurga, orang syahid di dalam syurga, bayi-bayi yang meninggal di dalam syurga, dan bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di dalam syurga.” (HR Ahmad 5/409. Namun al-Albani hadis ini sebagai Lemah di dalam Dhoief al-Jami’ 5997)

Pandangan Kedua : Anak-anak orang bukan islam bersama dengan bapa mereka di dalam neraka.

Al-Qadhi Abu Ya’la menisbahkan pendapat ini kepada Imam Ahmad. Namun Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menganggapnya sebagai satu kesilapan besar. (lihat Hasyiah Ibn al-Qayyim terhadap Sunan Abi Daud 7/87)

Dalil mereka:

i. Daripada Salamah bin Qais al-Asyja’ie katanya: “Aku bersama saudaraku pergi berjumpa Nabi SAW, lalu kami berkata: “Ibu kami mati ketika jahiliyyah (tidak islam), dia dahulunya seorang yang memuliakan tetamu, menghubungkan silaturrahim, dan dia juga pernah menanam saudara perempuan kami yang belum baligh ketika jahiliyyah.” Jawab baginda: “Yang menanam anak hidup-hidup dan anak yang ditanam di (kedua-duanya) di dalam neraka melainkan orang tua yang menanam anaknya itu memeluk islam.” (Hadis dinilai Hasan oleh Ibn Kathir di dalam Tafsirnya 3/33. Demikian juga Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid 18/120)

ii. Terdapat juga hadis-hadis yang lain, namun semuanya lemah.

Pandangan Ketiga : Al-Tawaqquf atau Allah lebih mengetahui tentang kesudahan mereka.

Dalil mereka:

i. Daripada Ibn ‘Abbas r.a, Rasulullah SAW pernah ditanya berkaitan anak-anak orang musyrikin, baginda menjawab: “Allah lebih mengetahui, apa yang mereka kerjakan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

ii. Hadis yang lebih kurang sama, namun diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari dan Muslim)

Pandangan Keempat : Anak-anak orang kafir akan menjadi khadam kepada Ahli Syurga.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Tiada sebarang asas bagi pendapat ini.” (Majmu’ al-Fatawa 4/279)

Terdapat hadis dalam perkara ini yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dan al-Bazzar. Namun hadis ini telah dinilai sebagai lemah oleh para imam hadis seperti al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari (3/246)

Pandangan Kelima : Anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh akan diuji di akhirat kelak.

Sesiapa yang taat, maka dia akan masuk ke syurga dan sesiapa yang engkar, maka dia akan di masukkan ke dalam neraka. Inilah pandangan kebanyakan ulama Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah seperti yang dinukilkan oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ariy.

Inilah juga pandangan al-Imam al-Baihaqi dan sekumpulan para pentahkik. Ibn Taimiyyah juga cenderung kepada pandangan ini, beliau juga menyatakan inilah kandungan nas-nas dari Imam Ahmad. Ibn Kathir juga mentarjihkan pandangan ini dengan berkata: “Pandangan ini menghimpunkan dalil-dalil keseluruhannya, hadis-hadis yang lalu saling menguatkan dan menyokong antara sebahagian dengan sebahagian yang lain.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim 3/31)

Dalil mereka:

i. Daripada Anas yang berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Akan didatangkan empat golongan para hari kiamat: kanak-kanak yang mati sebelum baligh, yang kurang akal, yang mati zaman Fatrah, dan orang yang sangat tua. Maka setiap mereka akan mendatangkan hujah mereka. lalu Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada neraka: “Maraklah!” Lalu Allah berfirman kepada mereka: “Sesungguhnya sebelum ini Aku telah mengutuskan kepada para hambaKu (di dunia) seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. Dan sekarang Akulah utusan kepada kamu semua, masuklah kamu semua ke dalam neraka ini.”

Baginda SAW bersabda: “Maka berkatalah orang-orang yang telah ditetapkan kesengsaraan untuknya: “Wahai Tuhan, bagaimana aku perlu memasukinya, sedangkan dahulunya kami lari daripadanya.”

Baginda SAW juga bersabda: “dan orang-orang telah ditetapkan untuknya kebahagiaan, dia akan pergi dan memasukinya (neraka) dengan segera.”

Baginda seterusnya menyambung: “Lalu Allah Taala berfirman: “Kamu semua ini (yang tidak mahu taat kepada perintah Allah) sudah pasti akan lebih mendustai dan mengingkari RasulKu, lalu Allah memasukkan mereka (yang taat perintahnya) ke dalam syurga dan yang engkar dan enggan ke dalam neraka.” (HR Abu Ya’la 4224, hadis ini juga memiliki sokongan yang banyak seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir di dalam Tafsirnya 3/29-31)

Al-Imam Ibn al-Qayyim r.h. berkata: “Inilah pandangan yang lebih adil, padanya berhimpun seluruh dalil dan hadis dalam bab ini. Maka sebahagian mereka (anak-anak orang kafir) ada yang masuk ke syurga seperti yang dinyatakan oleh hadis dari Samurah, ada pula sebahagiannya yang berada di dalam neraka seperti yang dinyatakan di dalam hadis dari ‘Aisyah.” (Hasyiah Ibn al-Qayyim ‘Ala Sunan Abi Daud 7/87)

Wallahu a’lam.

Credit : Ustaz Makmum Sundari Fb

No comments:

Post a Comment