Hari Keluarga Cabutan Bertuah, Hukum Berkabung Kerana Kematian, Batalkan Nazar Kaffarah, Lutut Turun Dahulu Ketika Sujud Dan Mandi Hadas Ketika Cedera

Soalan Pertama  : Ustaz...saya nak tanya..saya ada buat hari keluarga dan kutipan dibuat untuk menampung perbelanjaan pada hari tersebut. Makan minum dan hadiah lucky draw. Apakah hukumnya hadiah lucky draw tersebut. Harap ustaz dapat menjawab kemusykilan saya ini. Terima kasih.

Jawapan :

Biasanya perbelanjaan hari keluarga di sediakan peruntukkannya oleh syarikat atau jabatan kerajaan yang mengadakan hari keluarga. Termasuk semua aktiviti dan hadiah cabutan bertuah di ambil daripada peruntukan sedia ada maka ianya diharuskan. Tetapi jika mengadakah cabutan bertuah di ambil daripada ahli keluarga yang hadir di hari keluarga tersebut maka terdapat unsur judi di dalamnya. Jika ada unsur-unsur judi maka Islam melarangnya. Sama juga jika di adakah pertandingan memancing, futsal, badminton tetapi hadiah yang di sediakan di ambil daripada yuran penyertaan maka hadiah tersebut ada unsur judi dan di larang dalam islam.

Soalan Kedua  : Ibu mentua saya baru 2 bulan meninggal..yang menjadi masaalahnya adik ipar saya tidak membenarkan kami menyambut hari raya saperti selalu dan tidak membenarkan kami membesarkan dapur rumah sehingga genap 1 tahun pemergian arwah..apa pendapat ustaz

Jawapan :

Tidak ada dalam ajaran Islam berkabung sehingga setahun. Nabi SAW bersabda; “Janganlah wanita berkabung atas suatu kematian melebihi 3 hari, kecuali atas kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari, dan janganlah ia memakai pakaian yang dicelup (bercorak dan berwarna-warni), jangan bercelak dan jangan memakai wangian kecuali setelah bersuci dari haid; dibolehkan sedikit sahaja (untuk menghilangkan bau tidak enak pada faraj)” (Hadis Riwayat Muslim; 938/66, dari Ummu ‘Atiyah r.a).

Soalan Ketiga :  Assalamualaikum Ustaz.,saya mahu tanya bolehkah kita membatalkan nazar? Jazakallah khair

Jawapan :

Sebelum di huraikan kita perlu memahami nazar. Dalam Ensiklopedia Fikih dinyatakan tentang definisi nazar,

إِلْزَامٌ مُكَلَّفٍ مُخْتَارٍ نَفْسَهُ لِلَّهِ تَعَالَى بِالْقَوْل شَيْئًا غَيْرَ لاَزِمٍ عَلَيْهِ بِأَصْل الشَّرْعِ

Sikap seorang hamba mewajibkan diri sendiri tanpa paksaan, untuk melakukan perbuatan tertentu yang asalnya tidak wajib secara syariat, dalam rangka ibadah kepada Allah SWT, dengan ucapan nazar (al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 40:136).

Atau dengan ungkapan yang lebih ringkas, nazar adalah mewajibkan kepada diri sendiri untuk melakukan perbuatan tertentu yang pada asalnya tidak wajib, dalam rangka beribadah kepada Allah SWT.

Berdasarkan definisi di atas, ada dua perkara yang perlu dibezakan:

1. Kalimat nazar yang diucapkan pelaku.

2. Pelaksanaan nazar.

Bolehkah Nazar Dibatalkan?

Ada dua pengertian yang berbeza dari pertanyaan tersebut:

Pertama, menarik kembali kalimat nazar yang telah diucapkan.

Penarikan balik nazar ini tidak dibolehkan, kerana para ulama menegaskan bahawa kalimat nazar yang diucapkan pelaku, sifatnya mengikat dan tidak boleh ditarik kembali.

Umar bin Khatab mengatakan,

أَرْبَعٌ جَائِزَةٌ فِي كُلِّ حَالٍ الْعِتْقُ، وَالطَّلَاقُ، وَالنِّكَاحُ، وَالنَّذْرُ

“Empat perkara dianggap sah, apapun keadaannya: membebaskan hamba, talak, nikah, dan nazar.” (HR. Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf, no. 18403).

Yang dimaksud menarik kembali ucapan nazar adalah si pelaku mencabut nazar yang dia ucapkan, kemudian dia beranggapan seolah-olah belum mengucapkan kalimat nazar tersebut.

Hanya saja, para ulama memberikan pengecualian satu nazar yang wajib ditarik kembali, iaitu nazar kesyirikan. Misalnya orang bernazar untuk meletakkan pulut kuning dan ayam panggang di makam seseorang di anggap sebagai wali, perbuatan seperti ini wajib di tinggalkan kerana mendatangkan kesyirikan kepada Allah SWT dan pelakunya wajib bertaubat kerana telah melakukan kesyirikan. (Simak, Mutiara Faidah Kitab Tauhid, Abdullah bin Salam, Hal. 83)

Ini berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam,

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِه

“Siapa yang bernazar untuk menaati Allah, maka dia wajib mentaati-Nya. Dan siapa yang bernazar untuk bermaksiat kepada Allah maka janganlah dia bermaksiat kepada-Nya.” (HR. Bukhari no. 6696).

Kedua, tidak melaksanakan isi nazar

Al-Mardawi memberikan huraian yang jelas untuk orang yang tidak melaksanakan isi nazarnya. Beliau membezakan berdasarkan ada dan tidaknya uzur untuk tidak melaksanakan nazar tersebut. Beliau mengatakan

وإن نذر صوم شهر معين فلم يصمه لغير عذر ، فعليه القضاء وكفارة يمين ـ بلا نزاع ـ وإن لم يصمه لعذر ، فعليه القضاء ـ بلا نزاع ـ وفي الكفارة روايتان ( يعني عن الإمام أحمد ) والمذهب : أن عليه الكفارة أيضاً ، وصححه ابن قدامه وغيره

Jika ada orang yang nazar puasa di bulan tertentu, kemudian dia tidak berpuasa tanpa ada uzur, maka dia wajib qada' dan membayar kaffarah sumpah –tanpa ada perselisihan. Namun jika dia tidak melaksanakan puasa nazarnya di bulan itu kerana uzur, maka dia wajib qada' tanpa ada perbezaan pendapat ulama.. Sementara, apakah dia wajib membayar kaffarah? Ada dua keterangan dari Imam Ahmad. Pendapat yang dikuatkan para ulama Madzhab Hanbali, dia juga wajib kaffarah, dan pendapat ini dikuatkan oleh Ibnu Qudamah dan yang lainnya (al-Inshaf, 16:439)

Kaffarah nazar sama dengan kaffarah sumpah . Bentuk kaffarah sumpah telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya,

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ

“Kaffarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin, yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu langgar. ” (Surah Al-Maidah ayat 89)

Berdasarkan ayat di atas, kaffarah sumpah ada 4:

1. Memberi makan 10 orang miskin.

Memberi makan di sini adalah makanan siap set, lengkap dengan lauk-pauknya (nasi, sayur dan ayam/ikan) dan air mineral. Hanya saja, tidak diketahui adanya dalil yang menjelaskan batasan makanan yang dimaksudkan selain pernyataan di ayat tersebut: “makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu”.

2. Memberi pakaian 10 orang miskin.

Ulama berselisih pendapat tentang batasan pakaian yang dimaksud. Pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bahawa batas pakaian yang dimaksudkan adalah yang boleh digunakan untuk solat. Kerana itu, harus terdiri dari atasan dan bawahan. Dan tidak boleh hanya baju saja atau tudung saja. Kerana ini belum boleh disebut pakaian. Maksudnya untuk muslimin pakaiannya adalah baju melayu dan kain sarung / jubah atau untuk muslimat telekong solat.

Majoriti ulama berpendapat bahawa orang miskin yang berhak menerima dua bentuk kafarah di atas hanya orang miskin yang muslim.

3. Membebaskan hamba.

Keterangan: Tiga jenis kaffarah di atas, boleh memilih salah satu. Jika tidak mampu untuk melakukan salah satu di antara tiga di atas maka beralih pada kaffarah keempat,

4. Berpuasa selama tiga hari.

Pilihan yang keempat ini hanya dibolehkan jika tidak sanggup melakukan salah satu diantara tiga pilihan sebelumnya. Apakah puasanya harus berturut-turut? Ayat di atas tidak memberikan batasan. Hanya saja, mazhab Hanafiyah dan Hambali mempersyaratkan harus berturut-turut. Pendapat yang kuat dalam masalah ini, boleh tidak berturut-turut, dan dikerjakan semampunya.

Demikian keterangan yang disadur dari Fiqh Sunah Sayid Sabiq, (3/25 – 28).

Soalan Keempat :  Dalam solat ketika hendak sujud... bahagian mana dulu mesti sentuh sejadah...? lutut atau kedua tapak tangan...?

Jawapan :

Ulama berselisih pendapat di dalam perkara tersebut bahagian mana dulu yang perlu sentuh sejadah lutut atau tangan dulu. Pendapat yang lebih kuat adalah sentuh lutut dulu baru kedua tapak tangan.

Menurut mazhab Hanafi, Syafie dan satu pandangan yang diriwayatkan dari Ahmad, seseorang yang ingin sujud hendaklah menurunkan lututnya dahulu, kemudian barulah tangannya. Al-Tirmudzi menganggap walaupun ini adalah amalan kebanyakkan ulama, sebagaimana yang beliau ucapkan didalam Sunannya (2/57).: "[Ini adalah] amalan kebanyakkan ulama' ": mereka merasakan bahawa seseorang itu harus turun dengan lututnya sebelum meletakkan tangannya dibahawa, dan bila ia bangun ia harus menangkat tangannya dahulu sebelum lututnya. Mereka menggunakana hadith Waa'il ibn Hajar yang berkata :

"Aku melihat Nabi SAW apabila beliau sujud, dia meletakkan lututnya sebelum tangan, dan bila beliau naik, beliau akan mengangkat tangannya sebelum lutut" (Hadis Riwayat Abu Daud, Al-Tirmudzi, Al-Nasaai', Ibn Majah (1/345). Tirmudzi berkata bahawa hanya seorang yang meriwayatkannya ialah Yazid ibnm Harun dari Shurayk.

Lain-lain ulama mengkelaskan hadis ini sebagai Sahih, seperti Ibn al-Qayyim (Zaad al-Ma'aad). Mereka yang mendokong bahawa harus turun sujud menggunakan lutut dahulu ialah Sheikh Al-Islam Ibn Taimiyah, Ibn Al-Qayyim, dan juga beberapa ulama zaman ini seperti Sheikh Abdul Aziz bin Baaz, Sheikh Muhammad ibnu Saalih Al-Uthsaimin dan Al-Jibrin.

Kata bin Baaz didalam Majmu' fatawa: "Yang terbaik : Dua lutut dahulu, kemudian kedua-dua tangan dan kemudiannya muka, dari hadis Waa'il dan apa yang datang dengan maknanya"[4/234][1].
Wallahu 'alam

Rujukan :

1. Sheikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Bazz. Majmu' Fatawa Samaahah Abdul Aziz Bin Baaz - 4 Riyad : Dr Al-Watan, 2000.

Soalan Kelima : Saya hendak bertnyakan mengenai cara-cara mandi hadas dalam keadaan cedera di kepala atau badan dan kecederaan itu jika terkena air akan memudaratkan badan. Mohon percerahan ustaz.

Jawapan :

Apabila sebahagian daripada tubuh badan cedera tidak boleh terkena air maka hendaklah bertayamum, sapu kawasan luka yang sedang dibalut dengan bekas air ditapak tangan dan cuci anggota badan yang lain dengan air. 

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu berkata: "Kami pernah berada dalam satu perjalanan lalu seseorang di antara kami (terjatuh) lalu kepalanya terkena batu. Orang itu kemudian (di malam hari) junub pula kerana bermimpi (dalam tidurnya). Maka (di keesokan pagi) bertanyalah dia kepada rakan-rakannya: Apakah kalian mengetahui hukum keringanan bagi aku untuk bertayamum ? Kami menjawab: Kami tidak mengetahui sebarang hukum keringanan bagi kamu sedangkan kamu mampu menggunakan air. Maka orang itupun melakukan Mandi Wajib dan ternyata setelah itu dia mati (kerana cedera parah yang amat sangat di kepalanya itu).

Setelah itu kami (pulang) menghadap Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan melapurkan kepada baginda peristiwa tersebut maka baginda bersabda (dengan marah): "Mereka telah membunuhnya, Allah (akan) membunuh mereka ! Mengapa mereka tidak bertanya jikalau mereka tidak tahu ? Sesungguhnya ubat kebodohan itu adalah bertanya. Dia cukup dengan bertayamum sahaja dan membalut kain serban atas lukanya, kemudian menyapu di atas serbannya itu. Setelah itu dia mencuci anggota badannya yang lain.[Hadis Riwayat Abu Daud - no: 0317.]

Dalam hadis ini jelas kita melihat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam marah terhadap perbuatan para sahabat yang terlalu ketat memegang kepada sesuatu hukum sehingga menyebabkan kematian salah seorang dari sahabat mereka sendiri. Malah baginda juga mempertanggungkan kematian sahabat itu ke atas rakan-rakannya, dengan sabda baginda : "Mereka telah membunuhnya……"

Credit : Ustaz Makmum Sundari Fb

No comments:

Post a Comment